KERAJAAN Hong Kong diberi kebenaran oleh Kementerian Pertahanan China untuk menggunakan perkhidmatan anggota keselamatannya bagi mengawal keadaan sekiranya dikemukakan sebuah permintaan.

Menurut laporan portal berita South China Morning Post, wakil daripada kementerian tersebut mengutuk tindakan penunjuk perasaan yang menyerang pejabat perhubungan Hong Kong-China pada Ahad lalu.

Dalam kenyataan yang diedarkan, Kementerian Pertahanan China menegaskan, tindakan tunjuk perasaan itu dianggap sebagai mencabar prinsip “satu negara, dua sistem” yang dipersetujui dua kerajaan tersebut.

Berkenaan samada Angkatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) akan terlibat dalam situasi Hong Kong, Wu berkata: “Terdapat ketetapan yang jelas kepada Perkara 14 dalam Undang-Undang Garison.”

Perkara tersebut menyatakan bahawa menurut Perlembagaan Hong Kong, kerajaan Hong Kong dibenarkan untuk mengemukakan permintaan kepada kerajaan China bagi mendapatkan bantuan garison PLA yang ditempatkan di cawangan Hong Kong.

Bantuan ini bukan sahaja terhad kepada mengawal ketenteraman, tetapi juga untuk mendapatkan bantuan sekiranya Hong Kong dilanda malapetaka.

Ahad lalu, sebuah kawasan perniagaan di tengah Hong Kong bertukar huru-hara apabila peserta tunjuk perasaan yang menyerang pejabat perhubungan Hong Kong-China ditembak gas pemedih mata dan peluru getah oleh pihak berkuasa.