China beri amaran kepada United Kingdom supaya tidak campur tangan dalam urusan melibatkan Hong Kong susulan penguatkuasaan undang-undang keselamatan nasional di pulau itu.

Duta China ke UK, Liu Xiaoming menegaskan tawaran kewarganegaraan UK kepada warga Hong Kong sebelum ini adalah campur tangan yang jelas dalam hal berkenaan.

Justeru, Xiao Ming berharap UK pertimbang semula tawaran berkenaan.

“Undang-undang ini adalah titik penting kepada pelaksanaan 'satu negara, dua sistem' kerana ia menyokong pelaksanaan polisi ini.

“Ia adalah satu jaminan kukuh kepada kebebasan dan hak penduduk Hong Kong.

"Selepas undang-undang ini diluluskan, media Britain membuat laporan besar dengan komen yang jujurnya sangat disalah tafsir, salah faham dan tidak benar.

“Kami mahu menekankan supaya penduduk Britain memahami undang-undang ini sepenuhnya,” katanya.

Bagaimanapun, Setiausaha Luar UK, Dominic Raab menafikan ia merupakan satu bentuk campur tangan dalam urusan domestik China.

Undang-undang keselamatan nasional itu diluluskan kongres China minggu lalu dan ia dianggap mencabuli status semi autonomi yang dinikmati Hong Kong selepas pentadbirannya dikembalikan kepada China.

UK mendakwa China berterusan cuba mengubah perjanjian yang berkuatkuasa sejak 1997 yang menjamin kebebasan Hong Kong selama 50 tahun.

China kini mempertimbangkan tindakan susulan selepas UK dianggap mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab terhadap isu berkaitan Hong Kong.