Virus SARS-CoV-2 punca penyakit COVID-19 ditemukan pada bungkusan sotong import di wilayah Jilin, timur laut China.

Serentak itu, pihak berkuasa kesihatan bandar Fuyu menggesa mereka yang membelinya untuk menjalani ujian saringan COVID-19.

Salah satu bungkusan itu tiba di bandar berkenaan melalui wilayah Changchun.

Pejabat kesihatan bandar Fuyu turut meminta orang ramai yang membeli dan menjamah sotong yang diimport di kedai borong makanan laut beku Sanjia Deda pada 24 hingga 31 Ogos untuk melaporkan kepada pihak berkuasa terdekat dan menjalani ujian saringan.

Pejabat pencegahan Changchun COVID-19 berkata sotong itu diimport dari Rusia oleh sebuah syarikat di bandar Hunchun sebelum dibawa ke ibu kota wilayah berkenaan.

Jabatan Kastam China pada Jumaat memaklumkan akan menangguhkan import dari syarikat itu selama seminggu jika produk makanan sejuk beku disahkan dicemari koronavirus.

Penangguhan import juga akan ditingkatkan selama sebulan jika produk pembekal diuji positif untuk kali ketiga atau lebih.

Ogos lepas, pihak berkuasa tempatan di dua bandar China menyatakan mereka menemui kesan virus pada muatan makanan sejuk beku yang diimport.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagaimanapun berkata tiada bukti COVID-19 boleh tersebar melalui makanan atau pembungkusan.

China merekodkan aliran kes COVID-19 yang semakin menurun dengan hanya 10 jangkitan baharu pada Sabtu.

Kes baharu di Beijing kebanyakannnya adalah daripada mereka yang tiba dari luar negara.