Berita  | Dunia

China mahu hapus kandungan tak senonoh, ganas dari capaian internet

China mahu hapus kandungan tak senonoh, ganas dari capaian internet
Xi Jinping mahu usaha pemantauan ketat ke atas kandungan internet diteruskan. - Gambar fail
BEIJING: Internet perlu bersifat ‘bersih dan mulia’, maka semua kandungan yang tidak senonoh perlu dihapuskan sama sekali terutamanya dalam aspek budaya, tegas Presiden China Xi Jinping kepada para pegawai propaganda kanan negara itu pada Rabu.

Pemerintah China semakin mengetatkan pemantauan dan kawalan terhadap kandungan internet dalam usahanya mengekalkan kestabilan sosial.

Ini termasuk memastikan platform itu dibersihkan daripada kandungan yang melampaui nilai budaya tempatan, seperti elemen ganas, lucah dan penyebaran berita tanpa pengesahan.
Langkah tersebut turut melobatkan pemantauan ke atas kandungan penstriman langsung dan blog, hinggalah kepada permainan video, yang dikhuatiri menjejaskan nilai tradisi dalam kalangan generasi muda di China.

Negara itu turut mengharamkan akses kepada banyak portal berita antarabangsa, enjin carian dan media sosial termasuk Google dan Facebook.

PAda tahun 2017, negara itu telah mengharamkan sejumlah 128,000 laman web yang mengandungi maklumat lucah dan dianggap ‘berbahaya’.

Pemantau media negara tersebut juga meningkatkan saringan ke atas kandungan video, yang dilihat bnertentangan dengan nilai teras sosialis Jinping.

Walaupun dengan penapisan ketat, China mempunyai komuniti aktif dalam talian termasuk golongan blogger, yang sering memberi maklum balas tentang sesuatu isu atau perkara menerusi ‘karya’ humor, lakaran atau video pendek.

Mereka juga sedar bahawa kandungan tersebut boleh berdepan pengharaman oleh pihak pemerintah.

Jinping dalam mesyuarat berkenaan berkata, mereka yang bekerja dalam bidang kebudayaan dan kesenian diseru mengekspresi kualiti dan tanggungjawab selain menghormati undang-undang.

“Semua kandungan yang tidak senonoh perlu ditolak. Dalam bidang seni dan budaya, perlu diketengahkan sesuatu yang lebih sihat serta berkualiti,” tegasnya.