Bandar raya Wuhan di China telah menyekat perkhidmatan kongsi basikal kerana ia dilihat menyebabkan kesesakan lalu lintas serta menimbulkan 'kekacauan', lapor agensi berita Xinhua pada Isnin lepas.

Jumlah basikal kongsi di bandar Wuhan telah mencecah angka 700,000, jauh melebihi kadar keperluan sebenar iaitu 400,000 sahaja.

Syarikat pengendali basikal kongsi seperti Ofo dan Mobike mula berkembang di China sejak dilancarkan pada tahun lalu.

Basikal kongsi ini menjadi satu kebiasaan buat penduduk bandar utama di negara itu, dengan pengguna memiliki akses kepada kira-kira 16 juta basikal di seluruh negara itu melalui muat turun di aplikasi telefon pintar, kata satu kenyataan oleh Kementerian Pengangkutan.

Akan tetapi, disebabkan tiada kawalan, pihak berkuasa tempatan melihat basikal-basikal tersebut kerap ditinggalkan tanpa aturan tertentu di tempat-tempat awam yang sudah sedia sesak, seperti di siar kaki jalan raya.

Beberapa bandar utama telahpun menjalankan sekatan ke atas pengendali perkhidmatan seumpamanya. Pihak berkuasa Shenzen telah mengharamkan kemasukan baharu basikal berkenaan dan mengarahkan agar syarikat pengendalinya mengenakan tindakan bagi setiap penyalahgunaan perkhidmatan tersebut.

Polis Shenzen juga bakal mengenakan tindakan bagi salah laku penggunaan perkhidmatan ini dengan pesalahnya perlu menulis karangan peraturan lalu lintas sebanyak 1,000 patah perkataan atau denda sebanyak 2,000 yuan (RM1,305), lapor Shenzen Daily minggu lepas.

Menurut Kementerian Pengangkutan China, bandar-bandar seperti Shanghai, Hangzhou, Guangzhou, Fuzhou, Zhengzhou dan Nanjing juga menyekat kemasukan baharu basikal kongsi ini.