Polis China bertindak menahan 25 penumpang pesawat sebuah syarikat penerbangan yang bertindak membuka pintu kecemasan sejurus sebelum berlepas.

Kumpulan terbabit dikatakan mengamuk apabila penerbangan pesawat terbabit ditangguhkan akibat salji, lapor media negara itu.

Ini adalah satu lagi insiden tidak beradab yang dipamerkan oleh penumpang dari negara itu.

Dalam insiden awal Sabtu itu, penumpang terbabit diarahkan duduk di tempat mereka oleh kakitangan syarikat penerbangan China Eastern yang dalam perjalanan dari Kunming ke Beijing, lapor agensi berita Xinhua.

Selepas mendesak mereka dibenarkan turun dari pesawat atas alasan kesihatan, kumpulan terbabit bertindak “membuka tiga pintu kecemasan dalam usaha untuk menghentikan pesawat,” dan memaksa pesawat yang sedang bergerak itu kembali ke bahagian terminal lapangan terbang.

Dua daripada mereka dengan nama Zhou dan Li telah dikenakan tahanan 15 hari atas alasan melanggar arahan awam.

Selebihnya ditahan buat seketika dan kemudiannya dibebaskan selepas diambil keterangan.

Menurut saksi yang juga berada di dalam pesawat, mereka bimbang kakitangan pesawat gagal mengawal kumpulan penumpang yang dikatakan tidak henti-henti “mencarut dan menyumpah” selepas pesawat terbabit lewat lima jam daripada jadual asal penerbangan.

Dalam insiden bulan lalu, sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari Thailand ke China terpaksa berpatah balik ke Bangkok selepas seorang penumpang warga China menyimbah air panas kepada seorang pramugari.

Laporan media China menyifatkan tindakan penumpang itu sebagai tidak bertamadun dan mendakwa salah seorang daripada mereka mengeluarkan ancaman untuk meletupkan pesawat terbabit gara-gara tidak berpuas hati dengan tempat duduknya.

Pada 2013, Lapangan Terbang Kunming di China berantakan selepas ribuan penumpang mengamuk dan memusnahkan peralatan lapangan terbang terbabit selepas penerbangan mereka tergendala.

Sementara pada 2012, sebuah pesawat yang dalam perjalanan dari Zurich ke Beijing yang sedang membawa 200 penumpang terpaksa berpatah balik selepas dua penumpang warga China berkelahi.