Ketua Eksekutif Hong Kong Carrie Lam menafikan dakwaan berlakunya pencabulan wilayah, susulan keputusan Beijing meluluskan pelaksanaan undang-undang Tanah Besar di terminal kereta api laju yang dibina di pulau tersebut.

Penafian dibuat susulan kebimbangan umum khususnya penduduk Hong Kong yang mendakwa penguatkuasaan langkah itu bakal mencabuli status semi-autonomi wilayah berkenaan.

Perkara berkenaan dinyatakan Lam, pada sidang media selepas Jawatankuasa Bertindak Kongres Rakyat (NPCSC) meluluskan kerjasama antara Beijing dan Hong Kong berhubung pembinaan pejabat kastam di stesen West Kowloon.

Kelulusan kontroversi itu membolehkan China mewujudkan pejabat kastam di terminal Hong Kong, sekali gus membenarkan pihak berkuasa Beijing menguatkuasa undang-undang tanah besar di pulau tersebut.

Perkembangan ini menimbulkan kebimbangan berhubung tindakan China yang didakwa mencabul undang-undang asas 'satu negara, dua sistem' yang diamalkan selama ini, dan dianggap mengancam kebebasan hak asasi di Hong Kong.

Landasan menghubungkan Hong Kong, Guangzhou dan Shenzen itu dijangka mula beroperasi pada hujung tahun 2018.