Agensi Perisikan Pusat (CIA) belum membuat sebarang rumusan berhubung kes pembunuhan wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi, lapor agensi berita China Xinhua memetik kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Khamis.

"Mereka (CIA) belum membuat sebarang rumusan," kata Trump kepada pemberita di pusat peranginan miliknya, Mar-a-Lago, di negeri Florida.

"Tiada siapa yang membuat rumusan. Saya tidak tahu jika sesiapa boleh membuat rumusan bahawa putera mahkota melakukannya," kata beliau.

Kenyataan Trump dibuat beberapa hari selepas media AS, merujuk kenyataan orang dalam, melaporkan bahawa CIA telah membuat rumusan bahawa Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed Salman telah mengarahkan pembunuhan Khashoggi, manakala putera mahkota sendiri terus menafikan dakwaan itu.

Setelah menerima satu laporan daripada CIA berhubung pembunuhan itu, Trump memaklumkan pemberita bahawa CIA telah membangkitkan "beberapa perkara tertentu" namun tidak membuat sebarang rumusan.

"Mereka (CIA) berkata baginda (putera mahkota) mungkin melakukannya," kata beliau.

Khashoggi telah hilang sejak beliau memasuki konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Okt.

Pihak berkuasa Arab Saudi berkata Khashoggi terbunuh dalam satu "pergaduhan" di konsulatnya.

Selepas mengeluarkan hasil siasatan awal, pihak pendakwaan Arab Saudi mengumumkan bahawa 18 rakyat negara itu telah diberkas berhubung pembunuhan tersebut.

Perbendaharaan As telah mengenakan sekatan ke atas 17 individu yang didakwa memainkan peranan dalam pembunuhan Khashoggi minggu lepas, susulan keputusan Jabatan Negara AS di akhir Oktober bagi membatalkan visa 21 suspek rakyat Arab Saudi.

-- BERNAMA