Seorang penyokong militan Daish, disabit kesalahan berhubung dakwaan cuba rekrut kanak-kanak sebagai 'tentera jihad', bagi melancarkan serangan keganasan di seluruh London.

Umar Haque yang merupakan warga Britain berusia 25 tahun, dilaporkan menunjukkan video dan propaganda militan yang berunsur ganas kepada kanak-kanak dan memaksa mereka melakonkan semula apa yang ditonton.

Ini termasuk video militan memenggal kepala tahanan.

Komander Anti-Keganasan Polis Metropolitan, Dean Haydon memaklumkan Umar, menggunakan kelebihan pengetahuan ilmu agamanya dan bertindak sebagai guru untuk memujuk 110 kanak-kanak berusia antara 11 ke 14 tahun menjadi militan.

Umar turut merancang melancarkan serangan menggunakan 'tentera jihad' ini, di beberapa kawasan tumpuan di London termasuk bangunan Big Ben, pusat membeli-belah, bank dan stesen penyiaran.

Kesemua kanak-kanak berkenaan merupakan pelajar sebuah sekolah swasta Islam tempat dia bertugas sebagai kerani.

Mereka dilaporkan diugut oleh Umar supaya tidak mendedahkan apa yang dilalui, atau berdepan kemungkinan dipenggal kepala seperti tahanan militan Daish.

Kira-kira 35 kanak-kanak yang direkrut Umar kini dalam pengawasan jangka panjang oleh pihak berkuasa termasuk diperintahkan menjalani khidmat masyarakat.

Umar didapati bersalah atas beberapa dakwaan, termasuk cubaan melancarkan serangan keganasan.

Dia sebelum ini turut mengaku bersalah atas empat tuduhan lain.

Dua lagi rakannya yang didakwa bertanggungjawab mengumpul dana, turut disabit kesalahan.