PUTERA George mencuri tumpuan dalam penampilan sulungnya untuk koleksi setem edisi khas sempena ulang tahun ke-90 Ratu Elizabeth II.

Setem berkenaan menampilkan Ratu Elizabeth bersama pewaris takhta diRaja Britain iaitu Putera Charles, Putera William dan Putera George yang berusia dua tahun ketika gambar bersejarah tersebut dirakam.

Menurut laporan The Mirror, keluarga diRaja itu telah menggunakan perkhidmatan jurugambar, Ranald Mackechnie.

“Ia merupakan satu penghormatan untuk merakam gambar empat generasi keluarga ini. Kami banyak berbincang tentang konsep gambar ini,” katanya.

Beliau turut berkata bahawa antara cabaran yang dilalui adalah untuk memastikan jarak kepala ahli keluarga Britain ini harus tepat agar setiap muka akan menjadi setem individu.

Gambar setem khas ini mula dikongsi di akaun Twitter British Monarchy, dan terus mendapat perhatian umum.

Antaranya, mereka berkata Putera George kelihatan comel dan segak berdiri di atas beberapa buku yang disediakan untuk beliau kelihatan tinggi.