Isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, dan beberapa isteri pemimpin Negara ASEAN hari ini dibawa melawat ke Festival K-Beauty sempena Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea Selatan (ASEAN-ROK) 2019.

Mereka turut diberi penerangan mengenai teknologi dan inovasi kecantikan yang digunapakai Korea Selatan.

Dr Siti Hasmah juga sempat meluangkan masa menonton persembahan kumpulan Cosmic Girls selama kira-kira 10 minit, yang berlangsung semasa festival itu.


Tun Dr Siti Hasmah juga sempat meluangkan masa menonton persembahan kumpulan Cosmic Girls semasa festival K-Beauty ASEAN-ROK 2019. - Astro AWANI/RAHIMAH ABDULLAH

Pada akhir lawatan, Dr Siti Hasmah dan isteri-isteri pemimpin lain mengabadikan kenangan bergambar kumpulan di festival itu.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Siti Hasmah tiba di Busan pada Ahad untuk menghadiri ASEAN-ROK 2019 yang berlangsung dua hari bermula Isnin.

Selepas sidang kemuncak itu, Dr Mahathir akan melakukan lawatan rasmi ke Seoul dari 27 hingga 28 Nov.