Singapura hari ini melaporkan 102 kes baharu jangkitan COVID-19 dengan enam daripadanya adalah kes import.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Singapura di sini, semua kes import terbabit telah diarahkan kuarantin di rumah sebaik tiba di Singapura.

Kementerian itu juga berkata daripada kes baharu terbabit, lima merupakan kes dalam komuniti melibatkan seorang warga Singapura dan empat pemegang pas pekerja, manakala selebihnya adalah kes membabitkan pekerja migran yang ketika ini sedang dikuarantin.

Perkembangan terbaharu ini menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan COVID-19 di republik itu sebanyak 55,497.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Rabu, kementerian itu menyatakan terdapat 22,800 pekerja asing masih menjalani tempoh kuarantin mereka.

Ini termasuk 800 yang baru dikuarantin setelah kementerian mengesan kes dalam kalangan mereka di asrama yang "bebas daripada jangkitan itu".

Sehingga tengah hari semalam (Rabu), republik itu mengklasifikasikan 774 daripada kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,196 kes dalam komuniti dan 52,425 sebagai kes melibatkan penghuni asrama.

Sejumlah 50,520 pesakit atau 92 peratus daripada kes terkumpul telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan telah dibenarkan keluar dari hospital atau kemudahan jagaan komuniti di sini.

Sementara itu, 92 kes yang disahkan masih berada di hospital tetapi tiada yang dirawat di unit rawatan rapi.

Seramai 4,756 pesakit yang bergejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun masih diuji positif COVID-19, telah diasingkan dan dijaga di pusat rawatan komuniti.

Sehingga kini, sebanyak 27 kematian akibat komplikasi COVID-19 direkodkan oleh republik itu.

-- BERNAMA