ANGKA jangkitan COVID-19 di seluruh dunia kini mencecah 14.6 juta kes.

Data terbaharu Johns Hopkins University memaklumkan, terdapat pertambahan lebih 220,000 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Amerika Syarikat kekal menjadi negara paling teruk terjejas dengan 3.8 juta kes positif.

Ini diikuti Brazil, dengan kes positif jangkitan sebanyak 2.09 juta kes dan India, 1.11 juta kes.

Rusia melepasi angka jangkitan setengah juta dengan merekodkan 776,000 kes.

Peru, Chile, Afrika Selatan dan Mexico pula masing-masing melepasi angka 300,000 kes positif COVID-19.

10 negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 ialah United Kingdom, Iran, Sepanyol, Pakistan, Itali, Arab Saudi, Turki, Perancis, Jerman dan Bangladesh.

Empat lagi negara merekodkan angka positif melebihi 100,000 ialah Colombia, Kanada, Qatar dan Argentina.

Negara-negara lain masih merekodkan angka jangkitan COVID-19 di bawah 85,000 kes.

Sementara itu, jumlah kumulatif kematian global akibat COVID-19 kini lebih 608,000 kes.

Statistik daripada Johns Hopkins University menunjukkan angka kematian global meningkat lebih 5,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Amerika Syarikat kekal merekodkan jumlah kematian tertinggi dengan lebih 140,000 kematian.

Brazil dan United Kingdom berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing merekodkan lebih 79,000 dan 45,000 kematian akibat COVID-19.

Mexico, Itali dan Perancis merekodkan angka kematian, masing-masing 39,000, 35,000 kes dan 30,000 kes.

Sepanyol dan India pula masing-masing merekodkan 28,000 dan 27,000 kes maut.

Iran merekodkan kematian lebih 14,000 kes manakala negara-negara lain masih merekodkan angka kematian di bawah 13,000 kes.