Terdapat 14 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan di New Zealand dengan 13 kes berkaitan sebuah kawasan kejiranan di Auckland.

Satu lagi kes adalah kes melibatkan pengembara yang tiba di negara itu dan sedang menjalani proses kuarantin.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan negara itu, Ashley Bloomfield, 13 kes baharu itu dikategorikan sebagai satu kluster.

"Apa yang kita faham tentang sesebuah kluster adalah, angka positif akan bertambah dari semasa ke semasa. Jadi dari pihak kami, kami menjangkakan kes ini akan berterusan.

"Terdapat beberapa kes yang menunjukkan simptom, dan mereka juga sudah melakukan saringan dan kini ditempatkan di pusat isolasi dan langkah pencegahan sudah dilakukan.

Sementera itu, Perdana Menterinya, Jacinda Ardern turut menjangkakan situasi ini akan bertambah buruk sebelum keadaan kembali pulih.

Susulan pertambahan kes tersebut, orang ramai mula melakukan ujian saringan di Auckland.

Kes baharu yang direkodkan minggu ini merupakan kes tempatan pertama yang dikesan selepas negara itu bebas kes baharu selama 103 hari.