Sekatan pergerakan di Victoria, Australia mungkin akan dipertingkatkan sekiranya kes positif COVID-19 terus meningkat.

Perkara itu ditegaskan oleh Ketua Menterinya, Daniel Andrews, terutama sekiranya orang ramai masih ingkar terhadap arahan duduk di rumah.

Ia selepas 239 kes baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu.

"Dengan 238 kes baharu hari ini, ia semakin menunjukkan kestabilan kes sejak beberapa hari lalu tetapi jumlah ini masih tinggi.

"Seperti apa yang saya katakan sebelum ini, sebahagian daripada semua kes baharu ini akan menunjukkan simptom dan perlu ditahan di wad manakala beberapa peratus lagi perlu rawatan rapi dan satu daripada 100 meninggal dunia," katanya.

Pihak berkuasa terus mengawal di beberapa pusat pemeriksaan bagi mengenal pasti penduduk di wilayah itu yang ingkar perintah duduk di rumah.

Sementara itu, 13 kes baharu direkodkan di wilayah jiran, New South Wales dengan 10 daripada jumlah itu berkaitan dengan sebuah pub di Sydney.

Setakat ini, Victoria mencatatkan jumlah kumulatif kes positif 4,448 dan Australia secara keseluruhan merekodkan 10,495 kes.