Sejumlah 301 kes baharu jangkitan COVID-19 dilaporkan dalam 24 jam lepas di Singapura dengan empat kes di dalam komuniti.

Dalam data ringkas 12 tengah hari yang dikeluarkan di sini hari ini, Kementerian Kesihatan (MOH) republik itu berkata terdapat juga empat kes import, dan semuanya diserahkan Notis Duduk Dirumah sebaik sahaja tiba di sini.

Sementara itu, majoriti kes masih lagi daripada asrama pekerja asing.

Dengan angka kes terbaharu ini, jumlah keseluruhan kes kini mencecah 54,555.

Dalam data lengkap yang dikeluarkan lewat Rabu, Singapura mengklasifikasikan 729 sebagai kes import, 2,185 kes komuniti dan 51,340 kes penghuni asrama.

Setakat 12 tengah hari semalam, sejumlah 47,768 pesakit sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital atau pusat penjagaan komuniti di sini.

Pada masa sama, terdapat 126 kes disahkan yang masih lagi berada di hospital, dan kebanyakan mereka adalah stabil atau beransur-ansur pulih sementara seorang dalam keadaan kritikal dan dimasukkan ke unit rawatan rapi.

Sementara itu 6,333 kes yang mempunyai simptom ringan atau secara klinikal sihat tetapi masih didapati positif dalam saringan COVID-19 , diasingkan dan dijaga di pusat penjagaan komuniti.

Setakat ini, 27 orang meninggal dunia akibat komplikasi jangkitan COVID-19 di republik itu.

Walaupun tiada kluster dikenal pasti semalam, satu kluster Micron Semiconductor Asia Pte Ltd ditutup dan tiada lagi kes yang dikaitkan di kawasan terbabit dalam dua tempoh inkubasi 28 hari.

-- BERNAMA