Suruhanjaya Kesihatan Negara China memaklumkan empat lagi kematian baharu dicatatkan di Wuhan, sementara 31 kes positif COVID-19 direkodkan pada Khamis.

Ia sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes positif di tanah besar itu sebanyak 81,620 kes dengan 3,322 kematian dilaporkan akibat wabak tersebut.

Beberapa hari sebelum larangan perintah berkurung ditarik balik di Wuhan, penduduk di bandar itu diingatkan supaya kekal berada di rumah dan mempertingkatkan langkah-langkah perlindungan diri.

Ia susulan kebimbangan kepada risiko gelombang kedua pandemik COVID-19 di bandar yang mempunyai 11 juta penduduk itu.

Wuhan berada dalam perintah berkurung sejak Januari dengan penduduk dilarang meninggalkan bandar itu, sekatan jalan raya di pinggir bandar dan sekatan drastik terhadap kehidupan seharian.

Setakat Khamis, China melaporkan dua kes baharu COVID-19 yang membabitkan kes jangkitan tempatan.