SEORANG pekerja kilang memproses produk ikan di Tema, Ghana didapati menjadi pencetus kluster terbaharu apabila dikesan menjangkiti 533 pekerja lain di premis tersebut.

Presiden Nana Akufo-Addo dalam perutusannya pada Ahad mengumumkan perkara itu namun tidak menjelaskan bagaimana kluster itu tersebar serta sama ada langkah keselamatan telah dikuatkuasakan di situ.

“Kesemua 533 kes dijangkiti oleh hanya seorang,” kata Akufo-Addo.

Tambah beliau, jumlah 533 kes positif itu merangkumi kira-kira 11.3 peratus daripada kes positif keseluruhan Ghana.

Pada masa sama, beberapa kes daripada kluster itu adalah sebahagian daripada 921 kes yang aktif sejak 26 April, namun baharu saja dilaporkan.

Kes-kes baharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif Ghana ialah 4,700 setakat Ahad, iaitu jumlah tertinggi di Afrika Barat.

Negara itu turut merekodkan 22 kematian akibat COVID-19 serta 494 pesakit yang telah pulih.

Akufo-Addo memaklumkan negara itu telah menjalankan kadar ujian saringan COVID-19 paling tinggi bagi setiap sejuta orang berbanding negara Afrika lain, dengan 160,501 ujian dijalankan sejak wabak itu bermula.

“Pelaksanaan strategi kami dalam mengesan, menguji dan merawat secara agresif adalah cara paling efektif dalam memutuskan jangkitan virus ini,” ujar beliau.

Beliau mengumumkan larangan ke atas perhimpunan awam dilanjutkan sehingga hujung Mei sementara sekolah dan universiti akan kekal ditutup.