Jumlah kes positif COVID-19 dalam kalangan rakyat Amerika Syarikat (AS) bakal menghampiri angka tiga juta orang apabila lebih banyak negeri melaporkan kes baharu, manakala Florida kini mengalami krisis kekurangan katil hospital akibat wabak itu.

Pihak berkuasa melaporkan, peningkatan kes harian secara mendadak dari 24 negeri dalam tempoh dua minggu kebelakangan ini, satu petanda bahawa usaha mengawal penularan telah gagal di beberapa lokasi.

Portal berita Metro melaporkan, California, Hawaii, Idaho, Missouri, Montana, Oklahoma dan Texas mencapai rekod baharu dari segi kes harian.

Peningkatan paling mendadak pula berlaku di Texas dan California iaitu dua negeri terbesar di AS dengan lebih 10,000 kes sehari.

Trend itu menyaksikan lebih ramai rakyat AS keluar untuk menjalani ujian COVID-19 di kawasan masing-masing.



Di Texas sahaja, jumlah pesakit yang dimasukkan ke dalam wad telah meningkat hampir dua kali ganda dalam tempoh dua minggu itu.

Di Houston, 200 buah kereta kelihatan di sekitar Pusat Kesihatan United Memorial apabila orang ramai menunggu berjam-jam lamanya dalam cuaca panas hanya untuk menanti giliran menjalani ujian pengesanan.

Institusi Penilaian dan Metrik Kesihatan dari University Washington mengunjurkan kematian di negara itu akan mencecah 208,000 menjelang 1 November ini.

Sehingga hari ini, sebanyak 131,457 jumlah kematian dilaporkan di AS.