JUMLAH korban di seluruh dunia akibat pandemik COVID-19 terus meningkat kepada 669,055 setakat ini.

Berdasarkan data Johns Hopkins University, jangkitan COVID-19 global turut mencatatkan peningkatan kepada 17.12 juta kes.

Amerika Syarikat kekal sebagai negara paling teruk terjejas selepas merekodkan lebih 151,000 kematian.

Malah, negara itu turut merekodkan lebih 63,000 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan positif virus itu melebihi 4.4 juta kes.
.

Ini diikuti dengan Brazil merekodkan lebih 90,000 kematian dengan jumlah keseluruhan positif jangkitan mencecah 2.6 juta kes.

Sementara itu, India pula mengesahkan sebanyak 34,956 kematian akibat wabak itu dengan jumlah kumulatif positif melebihi 1.6 juta kes.

Selain itu, sebanyak 832,993 kes positif COVID-19 direkodkan di Russia dengan jumlah kematian sebanyak 13,778 kes.

Negara-negara lain pula merekodkan angka korban kurang daripada 50,000 kes termasuk di Mexico, United Kingdom, Peru dan Chile.