Presiden Argentina, Alberto Fernandez mengumumkan bahawa tempoh perintah berkurung di negara itu akan dilanjutkan sehingga 12 April bagi memerangi penularan wabak COVID-19.

Pengumuman dibuat menerusi siaran televisyen pada Ahad, selepas menerima nasihat daripada pakar jawatankuasa kesihatan dan saintis negara itu.

“Kami akan melanjutkan penjarakan sosial wajib ini sehingga sambutan Hari Easter iaitu 12 April.

“Ini merupakan satu tempoh panjang yang perlu kita harungi.

“Ini seumpama 'perang' terhadap anggota tentera dimana tidak dapat dilihat apakah yang menyerang kita, di kawasan yang adakalanya tidak dijangka,” katanya.

Sebelum ini, pada 20 Mac, Fernandez mengumumkan perintah berkurung tersebut berkuat kuasa sehingga 31 Mac 2020.


Beliau berkata berbanding dengan negara lain yang turut berdepan dengan pandemik itu, Argentina berada dalam keadaan yang baik.

“Jika anda melihat lengkung (untuk kes koronavirus di Argentina) dan dibandingkan dengan lengkung di negara yang melaksanakan perintah berkurung lambat, anda akan sedar bahawa kita berada dalam keadaan yang baik,” tambahnya.

Setakat 12:30 tengah hari Isnin (30 Mac), Argentina merekodkan 820 kes dan 20 kematian akibat COVID-19.