PAKAR kesihatan awam Pheonix Arizona di Amerika Syarikat (AS) memberi amaran, bandar itu kini sedang berdepan gelombang baharu jangkitan COVID-19.

Sehubungan itu, Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan Awam Daerah Maricopa, Dr Rebecca Sunenshine meminta penduduk kawasan itu memakai pelitup muka setiap kali meninggalkan rumah.

Tegasnya, pihaknya masih menyaksikan jumlah yang tinggi dalam bilangan kes baharu COVID-19 setiap hari.

"Sekarang, rata-rata terdapat lebih dari 1,800 kes setiap hari dan kita telah melihat sekitar 36 peratus daripada semua kes kita hanya pada minggu lalu.

"Sebelum ini, kita rata-rata mencatat 200 kes sehari. Angka ini dengan sendirinya menunjukkan peningkatan dramatik yang kukuh," katanya.

Tambahnya, terdapat beberapa perkara yang sangat berbeza mengenai kes-kes yang dilihat sekarang berbanding dengan kes-kes yang dilihat semasa penutupan dan sebelum penutupan.



"Pertama, lebih daripada separuh kes yang kita lihat adalah pada kumpulan umur 20 hingga 44 tahun. Sebelum ini, kumpulan umur itu merangkumi sekitar satu pertiga kes.

"Ini menjelaskan mengapa peratusan kes yang dimasukkan ke hospital adalah sekitar satu dari lima sekarang, berbanding sekitar satu dari tiga sebelum ini," kata Dr Rebecca.

Bagaimanapun, katanya, walaupun jumlah kes yang dirawat di hospital lebih rendah, jumlah hospital dan katil ICU yang diduduki pesakit COVID-19 meningkat dengan stabil.

"Ia adalah yang tertinggi yang pernah kita ada,” katanya.

Arizona kini sedang melihat trend peningkatan kes pandemik yang tinggi termasuk peratusan ujian terbukti positif terhadap virus itu, yang merupakan tertinggi di AS.