Ketika kadar kematian akibat COVID-19 di United Kingdom (UK) terus meningkat, seorang warga emas berusia 99 tahun sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital pada Rabu.

Wanita dikenali sebagai Carrie Pollock dilaporkan pulih daripada jangkitan virus itu selepas dirawat di Hospital Queen Alexandra di Portsmouth sejak awal Mac lalu, lapor agensi berita BBC.

Difahamkan, Pollock kini sedang berehat bersama keluarga di kediamannya di Pulau Hayling.

“Sekarang, saya rasa kesihatan saya semakin baik,” katanya ringkas.

Katanya, dia berasa terseksa kerana tidak dapat berjumpa dengan keluarga sepanjang menjalani rawatan di hospital.

Pollock yang juga bekas anggota polis cawangan khas ketika Perang Dunia Kedua, berkata pemulihannya dianggap sebagai luar biasa dan berharap ia dapat memberi harapan kepada pesakit lain.

Dalam pada itu, anak saudaranya dikenali sebagai Jess berkata, sebelum ibu saudaranya itu disahkan positif, Pollock mengadu mengalami masalah untuk berjalan kerana berhalusinasi dan disyaki menghidap pneumonia.

“Saya amat berterima kasih dengan doktor dan jururawat yang menjaga Pollock. Tanpa mereka, dia mungkin tidak dapat bersama-sama kami di sini,” kata Jess.

Pollock berpindah ke Kenya pada usia 18 tahun untuk berkhidmat sebagai anggota polis cawangan khas.

Sebelum ini, antara mangsa COVID-19 paling tua direkodkan terselamat adalah warga Amerika, Bill Lapschies, yang berusia 104 tahun dan seorang lagi warga Amerika Latin, Gina Dal Colleto berusia 97 tahun.

BACA: Wanita 97 tahun sembuh COVID-19, dipercayai mangsa tertua selamat di Amerika Latin

BACA: Wanita usia 107 tahun pulih COVID-19, dipercayai mangsa tertua selamat


Sehingga kini, UK mencatatkan 133,495 kes jangkitan akibat COVID-19 dengan 18,100 kematian.