Gabenor California, Amerika Syarikat, Gavin Newsom mengesahkan telah menandatangani arahan eksekutif agar kesemua pengundi berdaftar di California diberikan pilihan mengundi secara pos untuk pilihan raya presiden pada November depan.

Newsom dalam taklimat koronavirus hariannya pada Jumaat berkata, undian pos itu bagaimanapun tidak akan menggantikan pusat pengundian fizikal yang tetap diteruskan bagi mereka yang memilih pengundian secara biasa.

Ketika ini Amerika Syarikat (AS) sedang berusaha membangunkan tempat yang selamat untuk pengundi membuang undi.

Setiausaha Negeri California, Alex Padilla berkata, negeri itu merupakan yang pertama menghantar surat pengundian menggunakan pos kepada pemilih disebabkan kebimbangan tentang kesan COVID-19.

Tambahnya, kaedah undian itu lebih selamat dengan surat undian pos yang akan mereka terima akan dikepilkan sekali dengan sampul prabayar kiriman semula untuk dipulangkan selepas mengundi.

Langkah itu dilihat yang terbaik untuk kesihatan awam dan memastikan hak memilih pengundi dalam pemilihan November ini yang dikatakan akan menjadi pilihan raya presiden yang sangat sengit.