China merekodkan jangkitan COVID-19 domestik pertama dalam tiga hari selain 54 kes jangkitan dari luar pada Khamis.

Suruhanjaya Kesihatan negara itu dalam kenyataannya menyebut 55 kes baharu itu walau bagaimanapun menunjukkan penurunan berbanding 67 kes pada hari sebelumnya.

"Sekarang terdapat 81,340 kes yang disahkan di China.

"Jumlah kematian adalah 3,292 dengan lima kematian baharu.

"Kes-kes COVID-19 dari luar, sebahagian besarnya warga China yang pulang ke rumah, kini menjadi kebimbangan terbesar pihak berkuasa," jelas kenyataan itu.

Shanghai melaporkan 17 kes jangkitan luar, diikuti 12 di Guangdong, dan empat di Beijing dan Tianjin.

Wilayah Hubei, dengan penduduk sekitar 60 juta di mana virus itu pertama kali dikenal pasti, melaporkan sifar kes baharu pada Khamis.

China dalam pada itu mengarahkan syarikat penerbangan tempatan untuk mengekalkan hanya satu laluan ke mana-mana negara dan mengehadkan penerbangan hanya sekali seminggu berkuat kuasa 29 Mac.

Kementerian Luar negara itu turut menggantung sementara kemasukan warga asing dengan visa dan permit kediaman yang sah mulai 28 Mac sebagai langkah interim.