China pada Khamis mengumumkan republik itu menyumbang AS$30 juta (kira-kira RM131 juta) lagi kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pengumuman tersebut dibuat oleh Jurucakap Kementerian Luar di Beijing, Hua Chinying menerusi akaun Twitter.

“China memutuskan untuk menyumbangkan dana tambahan AS$30 juta kepada WHO untuk menyokong perjuangan global dalam memerangi wabak COVID-19, khususnya memperkuatkan sistem kesihatan negara-negara yang sedang membangun.

“China sudah menyumbang dana sebanyak AS$20 juta (kira-kira RM87.3 juta) kepada WHO pada 11 Mac lalu.

"Pada saat genting ini, sokongan yang diberikan kepada WHO bermaksud menyokong multilateralisme dan solidariti global,” kata Hua.


Penyaluran dana tersebut dibuat seminggu selepas pengumuman Amerika Syarikat (AS) yang mengatakan bahawa negera tersebut menghentikan bantuan dana kepada WHO.

BACA: COVID-19: Donald Trump serang WHO, ASEAN disaran teguh bersatu

Presiden AS Donald Trump mendakwa badan dunia yang berpangkalan di Geneva itu melebih-lebihkan China dalam isu pandemik COVID-19.

Wabak COVID-19 daripada jangkitan virus SARS-CoV-2 yang mula tersebar sejak akhir tahun lalu dipercayai berasal dari sebuah pasar yang menjual haiwan liar di bandar Wuhan, China.



Pada Rabu, Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berharap pentadbiran Trump akan mempertimbangkan semula keputusannya.

“Saya berharap AS percaya bahawa ini merupakan pelaburan yang penting, bukan sahaja untuk membantu orang lain, tetapi juga supaya AS kekal selamat,” kata Tedros dalam satu taklimat maya.

Untuk rekod, AS menyumbang AS$400 juta (kira-kira RM1.75 bilion) yang merupakan 15 peratus bajet WHO yang mempunyai 193 negara anggota tahun lalu.

WHO sedang mengumpul dana sebanyak RM1 bilion bagi membiayai perang melawan wabak COVID-19 yang kini mengorbankan lebih 191,000 orang di seluruh dunia.