Denmark umum laksana perintah berkurung bagi menyekat penyebaran jangkitan COVID-19.

Perdana Menteri, Mette Frederiksen berkata pekerja sektor awam bukan kritikal akan diberi cuti berbayar, sementara mereka yang berada di sektor swasta digalakkan bekerja dari rumah.

Dalam sidang media pada petang Rabu, beliau mengarahkan penutupan semua tadika, sekolah dan universiti selama dua minggu.

Pelbagai acara tertutup yang disertai 100 atau lebih peserta juga akan diharamkan, menurut laporan media tempatan.

Tidak ada kematian akibat COVID-19 di Denmark, tetapi jumlah kes jangkitan meningkat dengan pantas.

"Dalam keadaan biasa, kerajaan tidak akan melaksanakan langkah-langkah sebegini tanpa perancangan jangka panjang, tetapi kita berada dalam keadaan yang luar biasa," kata Frederiksen.

Denmark setakat ini mencatat 442 kes COVID-19, menjadikan jumlah mangsa yang dikuarantin sebanyak 1,303.

Pengarah Agensi Keselamatan Pesakit, Sørren Brostrøm berkata dia menjangkakan bilangan kes meningkat dengan pantas susulan pengisytiharan jangkitan itu sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Denmark ialah negara kedua di Eropah yang mengenakan perintah berkurung selepas Itali, negara kedua dengan kes COVID-19 tertinggi selepas China.