Filipina akan meningkatkan pengujian COVID-19 ketika negara itu mengalami peningkatan mendadak jumlah jangkitan dan kematian sejak perintah berkurung mula dilonggarkan sejak Jun lalu.

Presiden Filipina, Rodrigo Duterte pula memberi amaran pihak berkuasa akan menahan sesiapa sahaja yang tidak memakai pelitup muka.

Negara itu mensasarkan untuk melakukan sehingga 40,000 ujian sehari berbanding 23,000 pada masa ini, kata Setiausaha Kesihatan, Francisco Duque.

"Kita tidak dapat menguji semua warganegara kerana ia mustahil dilakukan, bahkan negara maju seperti Amerika Syarikat juga tidak mempunyai kemampuan berbuat demikian," kata Duque ketika muncul dalam satu wawancara di televisyen bersama Duterte, pada Selasa.

Di Asia Tenggara, Filipina berada di tempat kedua di belakang Indonesia, dengan kes jangkitan dan kematian terbaharu melonjak hampir empat kali ganda sejak perintah berkurung dilonggarkan pada Jun.

Perintah berkurung kembali dilaksanakan di beberapa kawasan yang mengalami peningkatan paling ketara.

Dari 30 negara dengan jumlah jangkitan tertinggi, Filipina berada di kedudukan ke-24 dari segi kadar ujian, menurut data dari Statista.

"Kita tidak akan teragak-agak untuk menahan mereka yang degil dan tidak mahu memakai pelitup muka. Menjadi agen penyebar COVID-19 adalah satu jenayah serius.

"Apabila ditahan, barulah mereka yang degil ini akan dapat pengajaran," kata Duterte pula.

Negara itu setakat ini mencatat 70,764 kes jangkitan dan 1,837 kematian.