BEBERAPA hospital di Indonesia mengakui tidak mempunyai peralatan perubatan yang mencukupi sekiranya berdepan dengan wabak COVID-19.

Stok peralatan seperti topeng pembedahan yang sedia ada semakin berkurangan dan pembekal tidak berupaya menambah bekalan baharu sebagai ganti.

Menurut akhbar CNA (Channel News Asia) yang berpengkalan di Singapura, Hospital Dr Zubir Mahmud di Acheh antara hospital yang menghadapi situasi bekalan topeng N95 turut semakin berkurangan.

CNA diberitahu Pengarah Kesihatan Umum Wilayah Dr Edi Gunawan hospital itu langsung tidak mempunyai stok peralatan lain seperti cermin mata keselamatan (goggles), baju kalis pencemaran (hazmat suit) dan pengimbas suhu (thermal scanner).

Buat sekian lama, Indonesia nampak tidak terjejas dengan penularan wabak selesema COVID-19. Namun setelah dua kes pertama dikesan minggu lalu, kini jumlah kes COVID-19 seluruh Indonesia sudah mencapai angka 19 setakat Isnin, 9 Mac.

Kini kerajaan Indonesia menetapkan 130 hospital sebagai pusat rujukan dan rawatan bagi mengendalikan kes COVID-19.

Republik Indonesia terdiri daripada lebih 17 ribu buah pulau – lebih 6,000 berpenghuni – dengan jumlah 264 juta penduduk.

Acheh yang mempunyai lebih 5 juta penduduk hanya mempuyai dua hospital yang diklasifikasi kerajaan sebagai pusat rujukan dan rawatan selesema COVID-19.

Hospital Dr Zubir Mahmud bukan antara dua hospital rujukan bagi wilayah Acheh dan situasi kekurangan bekalan perlu ditangani sekiranya penularan COVID-19 meningkat.

Dr Gunawan merayu agar hospital yang tidak diberi status hospital rujukan tidak diabai oleh kerajaan Indonesia dari segi pengagihan bekalan peralatan merawat selesema COVID-19.

Mana-mana hospital tidak berupaya untuk menolak pesakit yang dihantar untuk mendapat rawatan.

Sekiranya pesakit mempunyai gejala selesema COVID-19, sudah tentu ini akan menimbulkan pelbagai masalah dari segi penjagaan, rawatan dan bahaya virus merebak hingga menyebabkan penularan.

Sementara itu, hospital yang diberi status 'Hospital Rujukan' turut menghadapi kekangan dari segi bekalan peralatan.

Menurut laporan sama, Hospital Gunung Jati di Cirebon, Jawa Barat yang terkenal merawat kes selesema burung dan Mers-CoV sejak 2007, sudah kehabisan cermin mata kalis kotoran (goggles).

Tambah pengarahnya Dr Ismail Jamalludin, hospitalnya hanya ada enam katil untuk merawat pesakit di bilik pengasingan (isolation ward).

Gambaran yang sama diberi Dr Didi Candradikusuma, ketua penyakit jangkitan dan tropika Hospital Dr Saiful Anwar di kota Malang, Jawa Timur yang kekurangan pakaian hazmat.

“Peralatan biasa seperti sarung tangan dan topeng sekadar cukup untuk kegunaan buat jangkamasa empat bulan,” katanya kepada CNA.

Kedua-dua doktor itu menambah, situasi ini mendapat perhatian pihak Kementerian Kesihatan di Jakarta yang pasti akan menghantar bekalan secukupnya.

Bagi memudahkan komunikasi, pegawai dari Kementerian mewujudkan rangkaian perhubungan melalui aplikasi WhatsApp.

Lain perkhabarannya dengan kalangan hospital di wilayah lebih maju seperti Hospital Umum Sanglah Sentral di kawasan pariwasata Denpasar, Bali. Jurucakapnya Dewa Ketut Kresna yakin Sanglah Sentral mempunyai bekalan topeng, baju hazmat, cermin goggle dan sarung tangan yang mencukupi.

Kemampuan rangkaian hospital negara menangani isu COVID-19 turut menerima perhatian ketua setiausaha Pertubuhan Hospital Indonesia Dr Lia Partakusuma.

Menurutnya, bukan kesemua rangkaian 2,800 hospital seluruh Indonesia mempunyai kemampuan yang seragam untuk berdepan dengan wabak selesema COVID-19.

Namun, bukan semua pesakit perlu dirawat di hospital. “Mereka yang pulang dari negara berjangkitan COVID-19 tidak perlu tinggal di hospital sekiranya ketiadaan sebarang tanda gejala selesema.

"Memadai mereka berkurung atau self-isolate di rumah tanpa menimbulkan peluang jangkitan kepada orang lain,” katanya.

Tambah Dr Partakusuma, sekiranya kesemua 132 hospital khusus merawat COVID-19 penuh, sudah tentu hospital selainnya perlu membantu menampung beban rawatan.