MUMBAI:India mencatat pertambahan 55,722 kes jangkitan COVID-19 pada Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif di negara itu kepada 7.5 juta.

Angka itu bagaimanapun merupakan yang terendah dicatatkan dalam tempoh lima hari.

Negara dengan populasi penduduk kedua terbesar di dunia itu juga mempunyai jumlah jangkitan kedua tertinggi, selepas Amerika Syarikat.

Namun jumlah kematian yang dicatatkan India pada Isnin adalah yang terendah dengan 579 kematian dilaporkan dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah kematian kepada 114,610.

Kementerian Kesihatan India pada Ahad memaklumkan negara itu terus melaporkan penurunan kes aktif.