PULUHAN ribu umat Islam di Bangladesh ingkar perintah berkurung di negara itu ketika menghadiri pengebumian Maulana Jubaer Ahmed Ansari, pemimpin Pertubuhan Islam Khelafat Majlish.

Menurut polis, kira-kira 100,000 orang hadir di perhimpunan tersebut di daerah Brahmanbaria pada Sabtu.

“Kami hanya merancangkan upacara pengebumian yang kecil berdasarkan garis panduan kerajaan bagi menjaga keselamatan dan kesihatan.

“Namun, orang ramai berhimpun tanpa pengetahuan kami. Kami tidak tahu bagaimana ia boleh berlaku,” kata Pengetua Madrasah Jamia Rahmania, Mufti Mubarrok Ullah.

Sementara itu, Supt Alamgir Hossain berkata kepada akhbar Dhaka Tribune, pihak polis cuba menggesa orang ramai supaya mengamalkan penjarakan sosial, namun situasi menjadi sukar dikawal.

Susulan itu, pihak polis Bangladesh telah menggantung perkhidmatan beberapa anggota polis di daerah tersebut selepas gagal mengawal perhimpunan itu.

Bangladesh telah melaksanakan perintah berkurung sejak 26 Mac lalu yang turut melarang lebih lima orang berjemaah di masjid pada satu masa.

Namun, penguatkuasaan 'lockdown' ke atas 160 juta penduduk di negara itu, yang dijadual berakhir 25 April, semakin mencabar.

Menurut Kementerian Kesihatannya, jumlah jangkitan telah meningkat kepada 2,200 dengan 84 kematian akibat COVID-19 setakat Sabtu, namun kadar saringan koronavirus di negara itu masih rendah.