SEJAK ‘musuh halimunan’ atau wabak COVID-19 menyerang kita hujung tahun lalu, dunia menyaksikan perintah berkurung antara modus operandi utama bagi mengekang penularan wabak itu.

Biarpun semenjak bulan lalu beberapa buah negara mula ‘berani’ memberi kelonggaran terhadap perintah berkenaan, namun perlu juga kita pelajari dengan melihat bagaimana sesebuah negara mengadaptasi dengan pandemik baharu ini.

Ini kisah individu dari setiap pelosok dunia merasai pengalaman ‘lockdown’ yang berbeza.

Maghribi

Bagi seorang pengembara wanita, Alice Morrison, pengalamannya menetap di sebuah perkampungan kecil Maghribi yang terletak di kawasan pergunungan Atlas Besar sedikit berbeza dengan negeri asalnya, United Kingdom (UK).

Jelasnya, negara yang terletak di Afrika Utara itu lebih ketat peraturannya jika dibandingkan dengan UK.

“Kami hanya dibenarkan keluar untuk membeli-belah dua kali seminggu dan perlu memakai topeng muka.

“Sebagai contoh, mereka yang bekerja di bahagian sektor penting negara seperti pekebun masih dibenarkan untuk mengusahakan tanaman mereka dan penduduk disini juga boleh mendapatkan akses kepada penjagaan kesihatan dan perubatan jika perlu,” katanya.

.

Alice berkata, sebagai pengembara, meskipun tidak bebas untuk keluar mengembara, namun dia tetap gembira kerana masih dapat menikmati pemandangan indah dari sebuah teres didiaminya itu.

Dia juga tidak menyangka dengan sikap disiplin penduduk disitu dalam mematuhi perintah berkurung tersebut.

Singapura

Berbeza pula dengan pengamalan ‘kesempitan’ dialami oleh Olivia Lee dari tingkat 15 sebuah apartmen di Ghim Goh, Singapura.

Oleh kerana patuh dengan arahan kerajaan untuk kekal duduk di rumah, Lee yang kini berkongsi ruang kediaman itu bersama suaminya perlu berdepan dengan cuaca panas di negara itu.

.

Menurutnya, situasi ‘lockdown’ di negara itu tidak seperti yang digambarkan. Namun, kerajaan lebih kepada memanggilnya sebagai penguatkuasaan ‘circuit breaker’ atau pemutus rantaian.

Perintah itu mengkehendaki sekolah ditutup, melarang perniagaan tidak penting dan 'mengurung' pekerja asing di asrama mereka.

Republik itu juga, kata Lee, ada meluluskan undang-undang baharu yang melarang penduduknya berkumpul dalam satu-satu tempat termasuk rumah dan tempat awam tanpa mengira saiz.

Suasana gerai jalanan yang popular di negara itu turut dilihat berbeza apabila rata-rata deretan kedai disitu memasang pita merah dan putih pada kerusi dan meja kecuali beberapa buah gerai makanan yang masih beroperasi hanya untuk ‘tempah dan ambil' (takeaway).

“Bagi menyokong para peniaga, saya memilih untuk membeli makanan disitu untuk makan tengah hari dan malam. Lagipun, ia lebih murah berbanding kos memasak di rumah,” katanya.

Nepal

Pengalaman ‘lockdown’ bagi Dr Jane Wilson-Howarth dan suaminya di Nepal tidak begitu terjejas kerana masih dapat bergantung dengan sumber pendapatan yang ada dan tempat penginapan yang selesa.

Namun, melalui pemerhatian mereka pada ketika itu, rata-rata rakyat Nepal berada dalam kesempitan oleh kerana tidak dapat bekerja.

“Kami pernah terserempak dengan situasi di mana penduduk terpaksa beratur panjang untuk menerima beras, kekacang dan sabun,” katanya.

Jelas Jane, hanya beberapa buah pasaraya dibenarkan beroperasi dalam tempoh yang ditetapkan.

.

Selain kelibat kenderaan yang dilihat berkurangan di atas jalan raya, perkhidmatan teksi juga tidak beroperasi.

“Memandangkan saya bersama suami disini, keadaan semua berada dalam keadaan baik dan kami juga sempat bersosial bersama penduduk di kawasan kejiranan terdekat sahaja,” jelasnya kepada portal majalah pelancongan, Wanderlust.

Perancis

Jika di kawasan luar bandar yang penuh kedamaian kerana dikelilingi kebun-kebun, kincir angin dan kincir air, pengalaman ‘lockdown’ nyata berbeza buat pasangan Lesley dan Chris Bertram.

Bagi mereka, menghuni di dalam sebuah rumah yang sebelum ini merupakan kincir air lama di sungai Argenton dianggap seperti ‘syurga alam semulajadi’.

“Kami suka dengan rutin harian kami, menutup pintu pagar rumah dan tinggal di tengah- tengah kawasan itu. Tidak banyak berubah sejak perintah berkurung dilaksanakan di negara ini,” katanya.

.

Pasangan yang berasal dari UK itu berkata meskipun rindu dengan keluarga dan rakan di sana, namun ia tidak menghalang mereka untuk sentiasa berhubung dari jauh.

Katanya, kerajaan Perancis juga tegas dan serius dalam menangani pandemik COVID-19 dengan menguatkuasakan perintah dan syarat sekiranya rakyat ingin membeli barang keperluan harian di kawasan bandar.

New Zealand

Berkongsi pengalaman lebih kurang sama dengan beberapa buah negara lain yang turut menjalankan perintah kawalan pergerakan, Greg Wilson yang berada di New Zealand juga akur dengan perintah kerajaan dikendalikan Perdana Menteri Jacinda Ardern itu.

Bagaimanapun, sebagai usahawan, Wilson berasa lega kerana pihak kerajaan memberikan kelonggaran dengan membuka semula ekonomi termasuk sektor perniagaan yang dibenarkan kembali beroperasi.

.

Namun, katanya, syarikat di sektor itu perlu mematuhi beberapa syarat sekaligus mengubah gaya bekerja di tempat kerja dalam suasana normal baharu.

“Malangnya, ramai warga New Zealand yang hilang pekerjaannya sewaktu perintah kawalan pergerakan Tahap Empat dilaksanakan. Di bawah pelaksanaan ini, saya percaya ia akan mengambil sedikit masa untuk ekonomi kembali pulih,” katanya.

Denmark

Sektor pendidikan antara lain merupakan antara sektor yang mula diberi kelonggaran untuk beroperasi.

Di Denmark, selepas ekonomi dibuka semula, seorang guru menyifatkan sekolah sebagai ‘sekolah korona’ apabila para guru dan pelajar perlu mematuhi syarat-syarat yang ketat dan guru perlu bertanggungjawab dalam memastikan pelajar mengamalkan langkah-langkah pencegahan virus.

.

Samuel Hofmeister Hughes berkata, kelonggaran itu bagaimanapun, mengehadkan jumlah kehadiran pelajar di dalam bilik darjah dalam satu-satu masa.

“Mereka amat merindui sekolah walaupun perlu mematuhi prosedur standard operasi (SOP) yang telah ditetapkan seperti penjarakan sosial dalam jarak dua meter dan kerap basuh tangan,” katanya.