PERSEKUTUAN Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Antarabangsa (IFRC) merayu agar dunia bekerjasama bagi mengagihkan vaksin COVID-19.

Ketua Pengarahnya, Francesso Rocca memberi amaran terhadap tindakan berat sebelah yang akan menghalang akses vaksin kepada negara-negara miskin.

Dalam temubualnya bersama Reuters, beliau berkata, semua orang mempunyai hak terhadap akses rawatan tersebut.

Pada Selasa, Amerika Syarikat (AS) menolak resolusi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang dirancang bagi memastikan negara-negara miskin dapat memperoleh akses kepada perubatan.

Resolusi itu ditolak AS atas alasan ia akan menghantar mesej salah terhadap penyelidik yang akan menjadi individu penting kepada penyelesaian yang diperlukan seluruh dunia.

Tambah Rocca, jika terdapat pihak yang menyatakan vaksin adalah harta intelektual syarikat dan meletakkan harga, akan menyebabkan ia sukar diakses oleh mereka yang terdedah dengan risiko lebih tinggi.

IFRC mempunyai 14 juta sukarelawan di 192 buah negara.