PENGARAH Institut Penyakit Berjangkit Amerika Syarikat (AS), Dr Anthony Fauci menegaskan tiada kesangsian lagi yang jangkitan baharu akan berlaku dengan pembukaan semula ekonomi negara itu.

Menurutnya, jika ada kebolehan untuk mengesan dan mengasingkan kontak dengan efektif, beliau menjangka kes baharu dapat dikawal kepada sekitar 70,000 ke 80,000.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Presiden AS, Donald Trump mengumumkan pelan untuk negara itu meningkatkan kemampuan saringan dalam beberapa minggu akan datang.

Bagaimanapun, AS sebenarnya masih lagi menghadapi kekangan apabila negeri-negeri memaklumkam bahawa keupayaan saringan mereka masih lagi tidak mencukupi.

“Antara syarat yang dinyatakan Trump adalah keupayaan negeri-negeri ini untuk menyaring 2.6 peratus populasi setiap bulan.

“Bagi kawasan yang lebih teruk terjejas, kadar saringannya adalah dua kali ganda atau lebih tinggi. Namun jika syarat ini tidak dipenuhi, keadaan mungkin kembali kepada situasi sebelum ini,” tegas Fauci.

Tambahnya, COVID-19 mungkin boleh menular di luar kawalan malah mungkin lebih buruk lagi jika pembukaan ekonomi tidak berjaya dibuka secara tersusun dan pramatang.

“Kita mungkin kembali kepada situasi yang buruk, yang sama sebelum ini. Ini sebabnya kita harus berhati-hati dan tidak ambil risiko apabila kita membuka perlahan-lahan ekonomi untuk kembali kepada normal.

“Virus ini tidak akan hilang. Ini bermakna, apabila kita masuk ke musim baharu, ia akan kembali. Mungkin ia tidak pernah benar-benar hilang. Cara kita kawalnya apabila ia kembali, akan menentukan nasib kita.

“Jika pada masa itu kita ada semua langkah untuk mengawalnya, kita akan berada dalam keadaan baik. Jika sebaliknya, musim luruh dan sejuk kita mungkin sangat buruk.

"Semoga apabila kita sampai pada musim sejuk, kita akan tahu sama ada kita akan mempunyai vaksin yang selamat. Pada ketika itu cabarannya adalah untuk mengedarkannya di negara ini dan serata dunia,” ujarnya.

Tegasnya, adalah penting untuk mempunyai vaksin yang berkesan dan selamat selain boleh dihasilkan dengan banyak.

“Ini supaya vaksin ini tidak hanya diperoleh di negara kaya, sekali gus membolehkan negara seluruh dunia mempunyai akses terhadapnya," katanya.

Sebelum ini beberapa negeri seperti Georgia dikritik kerana dibuka terlalu pantas tanpa sebarang langkah dan pelan konkrit untuk memastikan penularan baharu COVID-19 tidak berlaku.