SITUASI kerja bagi pekerja migran di sebuah kilang pemprosesan daging di Jerman menjadi perhatian ramai apabila lebih 200 pekerja disahkan positif COVID-19.

Ia bukan sahaja dikenal pasti di kilang di Coesfeld, di barat negara itu malah di dua buah kilang lain di Jerman.

Sebilangan besar pekerja migran yang dijangkiti virus berkenaan dilaporkan berasal dari Romania dan Bulgaria.

Kes dipercayai berpunca daripada penularan dalam kalangan mereka yang menetap di rumah kakitangan yang sama.

Menurut Penasihat DGB Fair Mobility, Szabolcs Sepsi, situasi pekerjaan yang dilalui golongan migran itu sama sekali tidak menetapi prosedur operasi standard (SOP) mahupun langkah penjarakan sosial yang ditetapkan kerajaan.

Beliau yang mempertahankan hak pekerja migran di Jerman turut mendedahkan bahawa pekerja-pekerja itu sering dikenakan kerja lebih masa dan diberikan tempat penginapan yang tidak selesa.

Kes COVID-19 di Jerman pada Rabu menyaksikan peningkatan mendadak sebanyak 933 kes menjadikan keseluruhan 173,369 kes dengan 7,758 kematian.

Jumlah tersebut dikatakan meningkat hampir tiga kali ganda dalam masa 24 jam.