JUMLAH kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini 2.24 juta selepas pertambahan lebih 110,000 kes dalam tempoh 24 jam.

Menurut data Johns Hopkins University, jumlah negara yang mencatat lebih 100,000 kes positif kini meningkat kepada enam negara dengan pertambahan United Kingdom pada Jumaat.

Amerika Syarikat (AS) kekal menjadi negara yang paling teruk terjejas dan satu-satunya negara yang mempunyai angka kes positif melebihi 500,000 dengan keseluruhan 687,000.

Sepanyol dan Itali masing-masing mencatatkan 188,000 dan 172,000 kes secara keseluruhan.

Sementara itu, Perancis mencatatkan peningkatan kes positif yang perlahan apabila mengekalkan jumlah kes positif dalam lingkungan 147,000 kes.

Manakala Jerman mencatatkan peningkatan kes sebanyak 3,000 menjadikan jumlah keseluruhan 139 ribu kes.

United Kingdom menjadi negara yang mencapai angka 100,000 pada Jumaat kini mempunyai pertambahan kes baharu sebanyak lima ribu kes menghampiri 110,000 secara keseluruhan.

China, Iran dan Turki masing-masing mempunyai angka kes positif melebihi 50,000 kes.

Kini COVID-19 telah menular di 185 buah negara.

Bagaimanapun, pesakit COVID-19 yang telah sembuh daripada virus itu mencapai 565,957.