Restoran di Amerika Syarikat (AS) mahu lebih banyak bantuan diberikan kepada mereka yang berada dalam sektor tersebut.

Menurut laporan Reuters, ekoran arahan tinggal di rumah akibat penularan COVID-19, sektor berkenaan dijangka mengalami kerugian lebih AS$240 bilion (kira-kira RM1.05 trilion) pada akhir 2020.

Dalam tinjauan terkini yang diadakan persatuan restoran kebangsaan di AS, dua pertiga daripada pekerja telah diberikan cuti tanpa gaji.

Dalam masa yang sama, empat daripada 10 restoran di AS kini ditutup.

Tambah persatuan berkenaan, bantuan yang diberikan kerajaan pusat tidak akan mampu untuk menghentikan lebih banyak pekerja yang dijangka dibuang.

Menurutnya, ketika ini, program perlidungan gaji atau PPP yang diumumkan sebelum ini sukar untuk diakses.

Ini menjadikan ada restoran yang tidak dapat menggunakan pinjaman berkenaan untuk membantu mengekalkan pekerja mereka.

Menurut laporan Reuters, dana tersebut kini sudah habis dan ada restoran yang tidak memperoleh akses berkenaan.

Syarat pembayaran balik dua tahun untuk peminjam juga kini dimohon untuk dilanjutkan kepada 10 tahun.

Dalam masa yang sama, persatuan berkenaan turut memohon bantuan AS$240 bilion (kira-kira RM1.05 trilion) khas untuk industri restoran dan perkhidmatan makanan.

Ketika ini, persatuan berkenaan turut memohon agar tarikh permulaan pinjaman berkenaan berkuat kuasa apabila restoran mula dibuka dan bukan ketika mereka menerima bantuan.

Dua pertiga ekonomi AS disokong oleh perbelanjaan pengguna termasuk pembelian barangan dan aktiviti seperti keluar makan.

Ketika ini, wujud tekanan daripada pelbagai pihak agar Presiden AS, Donald Trump membuka ekonomi negara tersebut dengan cepat.

Bagaimanapun, ia dibantah beberapa gabenor negeri termasuk New York yang mendakwa negara itu masih tidak cukup kit ujian untuk menjamin keselamatan kesihatan awam.