BILANGAN kes COVID-19 di Amerika Syarikat kini melepasi paras satu juta setakat Isnin, menurut laporan Universiti John Hopkins.

Selain itu, lebih 55,000 kes kematian dicatatkan akibat jangkitan virus COVID-19 semenjak kes pertama dilaporkan di Washington pada Januari lalu.

Sementara itu, New York merupakan negeri mencatatkan kes kematian tertinggi, iaitu lebih 17,515 dengan keseluruhan kes berjumlah 292,027.

Susulan jumlah kes yang dicatatkan, Gabenor Louisiana, John Bel Edwards mengambil keputusan untuk menangguhkan pelonggaran sekatan di bandar itu sehingga 15 Mei.

Manakala Gabenor Texas, Greg Abbott berkata restoran, perpustakaan dan muzium akan dibuka seawal Jumaat ini dengan bilangan pelanggan dan pengunjung yang dihadkan.

Negeri-negeri lain yang sudah kembali dibuka untuk aktiviti harian termasuklah Georgia, Hawaii, Alaska dan Michigan.

Sementara itu jumlah keseluruhan kes di serata dunia melibatkan 185 negara kini melebihi tiga juta, dengan lebih 210,374 kematian dilaporkan.

Setakat ini, AS mendahului jumlah kes kematian tertinggi di dunia diikuti dengan Itali sebanyak 27,000 kes dan Sepanyol sebanyak 23,521 kes.

.