Kes positif COVID-19 di Indonesia terus meningkat melepasi angka 50,000, iaitu tambahan 1,178 kes baharu dalam tempoh 24 jam.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan COVID-19 Achmad Yurianto berkata, bagi tempoh 12 tengah hari semalam sehingga 12 tengah hari ini, sebanyak 47 lagi kematian berlaku, menjadikan jumlah keseluruhan kematian sehingga kini berjumlah 2,620 orang.

"Kes positif kini 50,187 manakala sebanyak 13,323 pesakit masih dalam pemantauan COVID-19," katanya dalam sidang media hariannya, yang disiarkan menerusi YouTube rasmi Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) Indonesia.

Provinsi Jawa Timur mencatatkan jumlah kematian tertinggi keseluruhan iaitu 764 kes, diikuti provinsi Jakarta (608 kes), Kalimantan Selatan (175), Jawa Barat (173) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

-- BERNAMA