JUMLAH kes positif COVID-19 di seluruh dunia merekodkan pertambahan sebanyak 210,000 dalam tempoh 24 jam yang lalu.

Menurut data terbaharu Johns Hopkins University, jumlah jangkitan setakat pagi ini waktu Malaysia mencecah 11.56 juta kes.

Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan jumlah kumulatif 2.92 juta kes.

Brazil kini menjadi negara kedua dengan kes positif jangkitan tertinggi iaitu 1.6 juta kes.

Rusia dan India pula melepasi angka jangkitan setengah juta dengan masing-masing merekodkan 697,000 dan 686,000 kes.

Data Johns Hopkins University menunjukkan jumlah jangkitan terkini ialah sebanyak 11.56 juta kes.

Dalam pada itu, sebanyak 11 negara merekodkan angka positif melebihi 200,000 iaitu Peru, Chile, United Kingdom (UK), Mexico, Sepanyol, Itali, Iran, Pakistan, Arab Saudi, Turki dan Perancis.

Manakala negara yang mencatatkan angka positif melebihi 100,000 adalah Jerman, Afrika Selatan, Bangladesh, Colombia, Kanada dan Qatar.

Negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 84,000 kes.

Sementara itu, statistik Johns Hopkins University juga menunjukkan angka kematian di peringkat global meningkat 4,000 kes dalam 24 jam lepas.

Jumlah kumulatif kematian seluruh dunia terkini adalah sebanyak 536,658 kes.

AS kekal merekodkan angka kematian tertinggi dengan 130,000 kes manakala Brazil dan UK berada di kedudukan kedua dan ketiga dengan masing-masing merekodkan 64,000 dan 44,000 korban.

Manakala kes kematian di Itali dan Mexico akibat virus berkenaan pula melebihi 34,000 dan 30,000 kes.

Sementara Perancis dan Sepanyol masing-masing mencatatkan 29,000 dan 28,000 kematian akibat COVID-19.

Negara lain masih merekodkan angka kematian di bawah 20,000 kes.