Kesatuan Eropah dijangka mengumumkan belanjawan lebih besar tahun ini untuk membantu pemulihan akibat COVID-19.

Menurut Canselor Jerman, Angela Merkel, antara langkah lain yang akan turut diambil adalah penerbitan hutang bersama menerusi Suruhanjaya Eropah.

Tambahnya, belanjawan dan hutang ini akan turut menyokong negara termasuk Itali dan Sepanyol yang teruk terjejas akibat penularan COVID-19.

Tegasnya, kemakmuran Jerman bergantung kepada kemakmuran rakan lain dalam Kesatuan Eropah, lapor Reuters.

Merkel menambah krisis ini bukan berasal daripada kegagalan negara untuk menguruskan polisi fiskal atau polisi domestik lain.

Ia sebaliknya adalah krisis pandemik.

Tambahnya, Jerman turut terbuka untuk mengkaji semula perjanjian di peringkat serantau bagi memastikan langkah memulihkan ekonomi akan dilakukan dengan pantas.

Namun tegasnya, perjanjian baru itu akan mengambil masa lama untuk dirangka.

Menurutnya EU memerlukan penyelesaian yang pantas dan Jerman akan mengambil bahagian untuk mewujudkan penyelesaian berkenaan.

Ketika ini, menteri kewangan dari ahli Kesatuan Eropah telah bersetuju kepada pelan bantuan bernilai 500 bilion.