Walaupun kebanyakan kedai dan firma perniagaan di Sepanyol terpaksa ditutup susulan wabak COVID-19, kedai pembuatan keranda antara yang terpaksa terus beroperasi dan masih sibuk menerima tempahan.

Malah, ada yang terpaksa menambah bilangan pekerja untuk memenuhi permintaan tinggi yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Tempahan yang kami terima meningkat lapan kali ganda," kata Maria Chao, Ketua Pegawai Eksekutif Ataudes Chao, sebuah syarikat pembuatan keranda yang sudah berusia lebih 100 tahun.

"Kami mengedarkan kira-kira 300 buah keranda setiap hari, hanya untuk memenuhi permintaan di sekitar Madrid," ujarnya.

Ataudes Chao terpaksa mengupah enam pekerja baharu untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran.

Pengedaran dilakukan sepanjang hari dan kilang di Galicia beroperasi sehingga 11 jam setiap hari.

"Jika situasi sekarang berterusan, kami mengganggarkan pengeluaran akan terus meningkat, sekurang-kurangnya 60 peratus daripada paras semasa," tambah Chao.

Sepanyol setakat kini mencatat lebih 14,000 kematian akibat COVID-19 iaitu jumlah kedua tertinggi di Eropah selepas Itali.