ANGKA kematian akibat COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) kini menghampiri jumlah korban warga Amerika yang terbunuh ketika Perang Dunia Pertama (WW1).

Menurut data Johns Hopkins University, setakat 11 pagi, pada Sabtu, negara itu merekodkan angka jangkitan dan kematian tertinggi di dunia dengan 2.04 juta kes positif dan 114,672 kematian.

Angka itu bakal melepasi jumlah warga Amerika yang terkorban semasa WW1 iaitu 116,516 dalam masa beberapa hari lagi walaupun tidak semua yang terkorban di Amerika akibat virus itu merupakan warga negaranya.

AS merekodkan angka korban tertinggi di dunia dengan 114,672 kematian, bakal melepasi jumlah warga Amerika yang terbunuh ketika WW1 iaitu 116,516 dalam beberapa hari lagi.
Pakar kesihatan Global Harvard, Ashish Jha meramalkan angka kematian di AS meningkat lebih 200,000 menjelang September.

Pada Mac lalu, Pengarah Institut Alergi dan Penyakit Berjangkit Kebangsaan AS, Dr Anthony Fauci menyatakan negara Uncle Sam itu mungkin menyaksikan kematian sehingga 200,000 orang akibat wabak COVID-19 dengan berjuta-juta lagi dijangkiti.

Semasa WW1, AS memasuki konflik itu agak lewat dan mempunyai angka kematian rendah jika dibandingkan negara seperti United Kingdom (UK), Perancis dan Jerman.

Sejak mengisytiharkan perang terhadap Jerman pada tahun 1917, AS kehilangan 116,516 tentera di kawasan parit, ladang dan hospital di Eropah Barat.

Kemasukan AS mengukuhkan kedudukan sekutu dan terbukti menjadi gelombang yang tidak dapat ditahan Jerman dengan Presiden Woodrow Wilson menghantar jutaan tentera Amerika ke benua yang ramai belum pernah terokai.

Namun bagi kebanyakan warga Amerika, penglibatan negara itu dan jumlah mereka yang maut adalah harga yang sebenarnya tidak perlu dibayar.

Anti-Enlistment League mengecam kehilangan nyawa warga Amerika yang ramai sehingga mengeluarkan risalah berbunyi "Jangan mendaftar. Negara anda memerlukan anda untuk kedamaian, melakukan pekerjaan yang baik dan bermanfaat, untuk memusnahkan kemiskinan dan membawa keadilan industri."

Kini, setelah lebih satu abad, AS kembali kehilangan nyawa warganya pada skala yang belum pernah terjadi sebelum ini.

Pandemik itu telah melanda AS seperti wabak pembunuh dengan kadar yang tidak pernah terjadi sebelum ini, menyaksikan negara itu berada di carta paling atas jangkitan dan kematian.

Presiden Donald Trump berulang-kali mempertahankan tindakan pentadbirannya ketika wabak melanda.

Bulan lalu, Trump membela diri daripada gelombang kritikan terhadap dirinya sendiri dan mengumumkan mengambil hydroxychloroquine, ubat malaria yang belum dipastikan keberkesanannya secara saintifik dalam menyembuhkan pesakit COVID-19 walaupun ubat itu digunakan secara berleluasa untuk mempercepatkan rawatan COVID-19.

Bagaimanapun, terdapat pakar kesihatan melahirkan kebimbangan tentang kesan sampingan jangka panjang kepada pesakit yang mengambil ubat tersebut.

Keadaan di AS diburukkan lagi oleh tunjuk perasaan anti-perkauman yang menuntut keadilan terhadap lelaki kulit hitam George Floyd yang pakar kesihatan memberi amaran boleh menyebabkan risiko penularan COVID-19 meningkat di kala pembukaan semula ekonomi secara beransur di negeri-negeri.

Dr Christopher Murray dari Institute for Health Metrics and Evaluation bulan lalu memberitahu CNN bahawa ketika unjuran dibuat, mereka menganggap semua negeri di AS akan mengikuti model New Zealand (NZ) iaitu menjaga penjarakan sosial sehingga transmisi jangkitan sampai ke tahap yang sangat rendah.

"Kita tidak melakukan perkara itu, kita bergerak dengan laju terhadap melonggarkan penjarakan sosial," jelasnya.

Bandar New York paling terjejas teruk dengan mempunyai jangkitan COVID-19 menghampiri 400,000 dengan lebih 30,000 kematian.

Negeri-negeri lain yang mempunyai hab pengangkutan utama seperti California, New Jersey, Massachusetts, Texas dan Florida juga telah mencatatkan ribuan kematian.

Trump bulan lalu menyatakan jika jumlah kematian dapat dikurangkan di bawah 100,000, itu akan menjadi tanda bahawa "pentadbirannya telah melakukan kerja yang sangat baik."

Namun Trump menyemak semula kenyataan asalnya dengan menyatakan antara 100,000 hingga 200,000 akan menjadi tanda kemenangan dan kejayaan baginya.

Bagaimanapun, angka kematian harian akibat virus itu di Amerika sedang mengalami penurunan sejak minggu-minggu akhir ini.

Keadaan itu menyebabkan kesemua 50 negeri akan mula dibuka kembali melalui tahap yang berbeza-beza, walaupun beberapa negeri dikatakan mempunyai peningkatan kes seolah-olah terdapat gelombang kedua sedang berlaku.