Ketika dunia berdepan dengan ancaman COVID-19, petugas barisan hadapan (frontliners) adalah antara wira yang tidak didendang terutama mereka yang bekerja di barisan perubatan.

Selain tidak putus-putus memberikan perkhidmatan yang terbaik bagi memastikan keadaan pesakit terjaga, masa adalah satu pengorbanan yang tidak ternilai kerana mereka terpaksa mengorbankan masa untuk berehat.

Di Jerusalem, dua orang anggota paramedik mendapat perhatian dunia apabila dilihat sempat menunaikan kewajipan kepada agama masing-masing.

Avrahmam Mintz dan Zoher Abu Jama, masing-masing merupakan penganut agama Yahudi dan Islam berhenti mengerjakan sembahyang dan berdoa di tepi ambulan mereka.

Difahamkan, anggota pasukan perkhidmatan tindakan kecemasan Israel, Magen David Adom (MDA) itu selesai membawa seorang wanita yang mengalami komplikasi kesukaran bernafas ke hospital di bandar Be’er Sheva.

“Kenyataan ini amat mudah tetapi sangat berkuasa. Kami dan seluruh dunia faham bahawa kita semua perlu mengangkat kepala dan menadah tangan. Itu sahaja yang tinggal,” kata Mintz kepada CNN.

Mintz, 42 tahun, merupakan seorang petugas MDA yang kini sedang giat melatih para sukarelawan.

Perkara sama turut dikongsi rakannya, Abu Jama yang meyakini bahawa mereka percaya kepada satu pegangan dan personaliti yang sama.

“Saya percaya bahawa Tuhan akan membantu kita untuk sama-sama mengharunginya. Kita semua perlu berdoa memohon pertolongan dan kita pasti dapat melalui krisis dunia ini,” ujar Abu Jama.

Meskipun ia dianggap sebagai rutin harian mereka, namun foto mereka yang tular pada Khamis menjadi inspirasi kepada kebanyakan orang di saat dunia berdepan dengan pandemik ini.

Sementara itu, menurut jurucakap MDA, Zaki Heller, pasukannya telah memberi khidmat sekitar 100,000 panggilan kecemasan pada waktu-waktu puncak.

Selain tugas-tugas kebiasaan anggota paramedik, Heller berkata pasukan itu juga bertanggungjawab untuk membawa pesakit-pesakit COVID-19 dari hospital ke hotel kuarantin.

Untuk rekod, Jerusalem setakat ini mencatatkan 3,035 kes positif dan 10 kematian akibat COVID 19.