Semua solat dan perhimpunan di Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis dilarang berkuat kuasa hari ini bagi satu tempoh yang tidak ditetapkan bertujuan membendung penyebaran COVID-19.

Perkara itu diumumkan Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam di Jordan yang juga penjaga bagi tapak suci ketiga umat Islam itu, dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ia turut disahkan Pengarah Masjid Palestin, Sheikh Omar Kisawni.

Berikutan arahan itu, semua pintu masjid dan Masjid Kubah atau ‘Dome of the Rock’ yang terletak bersebelahan ditutup.

Bagaimanapun, pekerja masjid dan pengawal masih dibenarkan untuk memasuki masjid berkenaan, manakala laungan azan tetap dibenarkan seperti biasa.

Menurut kenyataan itu, larangan solat turut berkuat kuasa di kawasan terbuka sekitar masjid berkenaan.

Bagaimanapun, jemaah masih boleh berkumpul di kawasan terbuka di kawasan bukit berhampiran.

Kebiasaannya, Masjid Al-Aqsa bukan sahaja menjadi tumpuan umat Islam untuk bersolat tetapi turut menerima kunjungan pelancong.

Sementara itu, pemimpin-pemimpin agama di beberapa tempat suci lain di Kota Lama Baitulmaqdis turut mengambil beberapa langkah pencegahan bagi mengelak jangkitan COVID-19.