PUNE:Perdana Menteri India, Narendra Modi optimis vaksin dibangunkan syarikat farmaseutikal negara itu akan memanfaatkan banyak pihak.

Justeru, beliau berpandangan India memainkan peranan cukup signifikan memerangi COVID-19 secara keseluruhannya.

Kenyataan ini dibuat selepas melawat tiga fasiliti pembangunan dan pembuatan vaksin di India.

Ia melibatkan fasiliti Zydus Cadila di Ahmedabad, fasiliti Bharat Biotech di Hyderabad dan serum Institute of India di bandar Pune.

Firma terlibat, ketika ini, dalam proses melakukan ujian klinikal dalam negara sebelum ia dilaksanakan di luar negara.


Setakat pagi Ahad, India mencatatkan 9.35 juta jangkitan COVID-19, kedua tertinggi selepas Amerika Syarikat.

Negara itu melaporkan 41,322 kes baharu dan 485 kematian pada Sabtu.

Bahagian barat negara itu, Maharashtra ialah wilayah paling teruk terjejas dengan jumlah kes 1.68 juta lebih tinggi daripada negara seperti Sepanyol, Itali dan Britain.

Pengeluar vaksin terbesar di dunia Serum Institute telah bekerjasama dengan pemain global termasuk Astrazeneca dan Novavax Incorporated untuk menjalankan ujian domestik terhadap calon vaksin mereka dan menghasilkan vaksin jika mendapat kelulusan.

Zydus Cadila sedang membangunkan vaksin berasaskan DNA asli, ZyCov-D, sementara Bharat Biotech milik persendirian sedang membangunkan vaksin yang disebut Covaxin dengan Majlis Penyelidikan Perubatan India yang dikendalikan oleh kerajaan.