WALAUPUN New Zealand baru mencatat enam kes COVID-19, Perdana Menteri Jacinda Ardern mengambil tindakan tegas bagi menangani penularan wabak selesema yang kini berstatus pandemik.

Langkah pertama adalah mengenakan perintah kurungan diri (self isolation) kepada semua individu yang tiba di New Zealand untuk 14 hari bermula tengah malam Ahad.

Langkah kedua adalah menasihat warga New Zealand agar berhenti melakukan tradisi `cium’ cara hongi apabila bertemu.

Hongi adalah cara meyapa dalam kalangan kaum etnik New Zealand apabila dua individu bertemu. Mereka saling berlaga hidung sambil menarik nafas.

Larangan menyapa cara hongi bersifat sementara diumum Adern dalam satu sidang akhbar pada Sabtu.

Ini bukan pertama kali tindakan menghentikan buat sementara tradisi cium-laga-hidung hongi ini diambil.

Pada awal bulan Mac, apabila New Zealand mencatat kes COVID-19 ketiga, pengerusi satu kaum Maori Kura Moeahu di Wellington bertindak melarang adat meyapa hongi buat sementara waktu bagi mengelak penyebaran virus korona.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Kaum Maori John Whaanga memaklumkan, terpulang kepada setiap kaum untuk mengambil keputusan melarang tradisi hongi atau tidak.

Menurut Whaanga, tiada larangan yang serupa dikenakan sewaktu wabak SARS melanda dunia pada 2003.

Adern turut mengumumkan peraturan setiap pelawat yang tiba di pintu masuk New Zealand perlu berkurung (self-isolate) bermula tengah malam Ahad.

Peraturan ini dikenakan kepada semua orang termasuk warga New Zealand. Pengecualian dibenarkan kepada warga kepulauan Pasifik yang tidak terkesan langsung dengan penularan wabak COVID-19.

Adern berkata; “Saya tidak memohon maaf. Perkara ini tidak pernah dunia hadapi,” sambil mengakui tindakan ini adalah peraturan yang paling ketat di dunia buat waktu ini.

Tambah Adern, peraturan ini akan dikaji semula selepas 16 hari. PM New Zealand turut mengumum penutupan dan larangan berlabuh bagi sebarang kapal pelancong di mana-mana pelabuhan negara yang akan berkuat-kuasa sehingga 30 Jun.