JUMLAH kes positif COVID-19 di Perancis meningkat kepada lebih 1 juta pada Jumaat, menjadikan negara itu yang ketujuh mencatat angka itu.

Sepanjang 24 jam lalu, Perancis merekodkan 42,032 kes baharu, meningkatkan jumlah kumulatif kepada 1,041,075, menurut data kerajaan.

Setakat ini, Amerika Syarikat menyaksikan kes tertinggi dengan 8.4 juta, diikuti India dengan 7.8 juta, Brazil 5.3 juta, Rusia 1.5 juta dan Argentina dan Sepanyol masing-masing lebih 1 juta.

Pada Khamis, lebih 40,000 kes jangkitan harian baharu direkodkan, ketika wabak semakin menular dan Perancis menjalankan lebih banyak ujian saringan selepas musim panas.

Perancis juga mencatatkan 298 kes kematian baharu pada Jumaat, meningkatkan jumlah kumulatif kepada 34,508.

BACA: COVID-19: Perancis laksana perintah berkurung di 9 wilayah bermula Sabtu

Presiden Emmanuel Macron berkata perintah berkurung yang dikuatkuasakan mulai Jumaat malam ke atas dua pertiga negara itu mungkin akan diperketat jika keadaan tidak bertambah baik.

"Kita terpaksa berdepan virus ini sehingga sekurang-kurangnya musim panas akan datang," katanya.

Macron berkata, sekiranya kes jangkitan harian baharu turun semula kepada antara 3,000-5,000, perintah berkurung mungkin boleh dilonggarkan.

Kali terakhir Perancis mencatatkan angka itu ialah pada penghujung Ogos lalu.