SUSULAN penularan COVID-19 di seluruh dunia, berikut rangkuman berita mengenai wabak itu di sana sini:

* White House ditutup kepada awam

White House, salah sebuah bangunan ikonik di Amerika Syarikat yang juga kediaman dan pejabat rasmi presiden, kini ditutup kepada awam kerana ancaman COVID-19.

Lazimnya, pelawat akan dibenarkan memohon kebenaran untuk melawat bahagian tertentu di dalam bangunan berkenaan.

Bagaimanapun, gara-gara COVID-19, aktiviti lawatan digantung sehingga satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

* Portugal tutup sekolah bermula Isnin

Portugal menjadi negara Eropah terkini mengumumkan penutupan sekolah kerana COVID-19.

Perdana Menterinya, Antonio Costa berkata, semua sekolah di negara itu akan ditutup bermula Isnin hingga hujung bulan ini.

Selain itu, kelab malam turut akan ditutup, manakala kompleks beli belah dan restoran perlu patuh dengan arahan operasi yang ditetapkan.

Sehingga kini, sebanyak 78 kes positif COVID-19 dicatat di Portugal.

* Pemimpin parti Sepanyol positif COVID-19

Pemimpin Parti Vox Sepanyol, Santiago Abascal, memaklumkan beliau positif COVID-19 dan mengambil keputusan untuk melakukan kuarantin diri sendiri.

Dalam pada itu, empat bandar di Catalonia menjadi yang pertama laksana perintah berkurung selepas kes kluster COVID-19 dikesan di kawasan berkenaan.

Sekolah dan universiti turut ditutup selama dua minggu dengan kerajaan berikrar untuk menyalurkan bantuan kewangan kepada industri pelancongan yang terjejas kerana pandemik berkenaan.

* Ketua eksekutif syarikat telekomunikasi UK positif COVID-19

Di UK, Ketua Eksekutif Kumpulan BT, Philip Jansen, diuji positif COVID-19.

Beliau berkata, mengalami alami simptom ringan COVID-19 dan akan bertugas dari rumah.

Kerja-kerja pencegahan kebersihan atau disinfeksi di firma itu sudah digerakkan, manakala petugas yang pernah berinteraksi dengan beliau dinasihat melakukan saringan kesihatan.

* Musim mendaki Gunung Everest dibatalkan

Kerajaan Nepal membatalkan ekspedisi Everest bagi musim 2020 selepas COVID-19 kini diisytihar sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sehubungan itu, Setiausaha Pejabat Perdana Menteri Nepal, Narayan Prasad Bidari berkata, visa pelancong akan digantung sehingga 30 April ini.

China sebelum ini sudah membatalkan ekspedisi pendakian dari laluan trek di kawasan pergunungan utara gunung berkenaan.

Kebanyakan pendaki Gunung Everest datangnya dari Amerika Syarikat, India, China, UK dan Jepun selain Korea Selatan.

* Broadway ditutup

Gabenor New York melarang perhimpunan awam yang melibatkan lebih 500 orang.

Ini bermakna, panggung teater terkenal, Broadway di Bandaraya New York tidak akan mengadakan sebarang persembahan untuk sementara waktu.

Broadway yang menjadi antara sumber utama pendapatan untuk Bandaraya New York akan ditutup sepenuhnya sehingga 12 April dan mula berkuatkuasa pada Sabtu.

Sehingga kini, Bandaraya New York mencatatkan 62 kes positif COVID-19, manakala lebih 200 kes dicatatkan di seluruh New York.