PERDANA Menteri Britain, Boris Johnson dijangka mengumumkan pendekatan baharu dalam mengendalikan krisis koronavirus di negara itu.

Ini termasuk memberi tumpuan kepada kerjasama dengan pemimpin tempatan di kawasan paling teruk terjejas, termasuk di utara England, akibat gelombang baharu kes COVID-19.

Ia memaksa kerajaan melaksanakan perintah kawalan ke atas beberapa premis seperti bar, gimnasium dan kasino ketika pelajar sekolah dan universiti kembali ke institusi pendidikan.

Gabenor Liverpool, Steve Rotherham memaklumkan kerajaan mahu mengenakan sekatan ketat di kawasan terbabit.

Namun ia belum dipersetujui sepenuhnya kerana mengambil kira kepentingan perniagaan terlibat.

Johnson dilaporkan enggan melaksanakan perintah kawalan di seluruh negara kerana ia bakal menjejaskan ekonomi.

Sehubungan itu, kerajaan kini memberi tumpuan kepada langkah kawalan ketat di kawasan terjejas sahaja.

Setiausaha Komuniti United Kingdom, Robert Jenrick mempertahankan rancangan kerajaan untuk memperkenalkan sekatan tempatan baharu.

Senada dengan Perdana Menteri, Jenrick menegaskan, langkah itu bagi mengelak penutupan seluruh negara.

“Walaupun jumlah kes meningkat dengan tinggi di seluruh negara, masih terdapat variasi yang besar (bilangan kes antara daerah),” ujar beliau.

“Oleh itu, pendekatan tempatan yang kita ambil sebagai cara untuk kita maju ke hadapan adalah langkah yang betul kerana tidak ada di antara kita yang mahukan satu langkah menyeluruh di peringkat nasional. Itu akan menjadi alternatifnya.”

Jenrick menyangkal dakwaan terdapat kegagalan komunikasi antara kerajaan dan pemimpin tempatan di utara, kawasan yang mengalami peningkatan jangkitan terbesar dan dijangka akan terkena impak paling teruk oleh sekatan baharu.

Jelasnya, kerajaan telah berusaha untuk bekerjasama dengan datuk bandar, pemimpin dewan dan ketua eksekutif untuk merancang langkah-langkah baru.